Timbalan Ketua Pemudanya, Hafez Sabri berkata, pihaknya turut membuka pintu kerjasama dengan kerajaan negeri dalam membantu menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi keresahan anak muda ketika ini.

"Saya melihat Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Belia Yang Kedua Perak Darul Ridzuan menampakkan kematangan ahli Dewan Belia dalam membentang serta membahas usul yang telah dikemukakan.

"Namun, saya berpandangan usul yang lebih serius perlu dibentang dan dibahaskan untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pihak kerajaan khususnya berkaitan peluang pekerjaan serta penyelesaian terhadap kos sara hidup melibatkan anak muda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua daripada lima usul telah dipersetujui secara undian bertulis dalam Persidangan Dewan Belia Perak yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini bermula 17 Ogos lalu.

Dua usul tersebut ialah 'Perak Heritage Trail' dan negeri tanpa beg plastik.

Dalam pada itu, Hafez berkata, Persidangan Dewan Belia menjadi platform terbaik dalam mengetengahkan suara anak muda selain memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara profesional dengan pihak kerajaan.

"Saya mengikuti perbahasan beberapa orang ahli Dewan Belia Perak yang turut membangkitkan mengenai peranan dan fungsi Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) yang kini telah dijenamakan semula sebagai Pusat Aspirasi Anak Muda (Pasak).

"Ia sepatutnya diperkasa pengoperasiannya atau dinaik taraf sebagai agensi utama kerajaan negeri Perak," katanya. - UTUSAN ONLINE