Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, banyak lagi pemimpin dan menteri yang mengeluarkan perkataan lebih sensitif tetapi tidak diambil sebarang tindakan ataupun menerima desakan supaya dihalau keluar.

"Mengapa ada perkara layanan tidak adil. Apabila Zakir yang ucapannya dipetik di luar konteks, hukumannya kena keluar ( diusir keluar negara). Sebab kita tengok ada banyak lagi kenyataan pihak lain yang lebih sensitif.

"Isu Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina), tentera dihina, Melayu digelar pendatang dan banyak lagi namun tidak ada sebarang tindakan. Kita lihat hanya sepihak sahaja (Zakir) dilihat sebagai sensitif," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu Zakir segera diusir keluar daripada negara ini.

Tambah Mohd. Asri, sepatutnya menteri-menteri ini mengikut pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju Zakir diusir keluar dari negara ini.

"Perdana Menteri sudah beri kenyataan tentang pendirian mengenai isu Zakir, sepatutnya itu dijadikan pegangan semua, kerana itu adalah keputusan daripada pihak yang tertinggi.

"Tapi malangnya, masih ada anggota Kabinet memberi pelbagai pandangan dalam isu ini.

Semua orang bercakap tanpa ada garis panduan meskipun Dr. Mahathir sudah nyatakan pendirian," katanya.- UTUSAN ONLINE