Lebih menyedihkan, gara-gara iri hati dan perasaan dengki yang membuak-membuak, ilmu sihir serta pelbagai bara­ngan khurafat digunakan semata-mata mahu melihat individu lain ditimpa kecelakaan.

Malah pengalaman hitam tersebut pernah dilalui seorang pengusaha produk kos­metik ketika perniagaan di­bangunkan dengan titik peluh sendiri mula menempa kejayaan sebelum ada yang mula cemburu.

Berkongsi kisahnya, mang­sa, Syarifah Furaiha, 26, memberitahu, segalanya bermula pada awal tahun 2016 apabila wajahnya tiba-tiba bertukar hitam seolah-olah terbakar teruk akibat sinaran matahari sedangkan dia memakai purdah.

Ujarnya, situasi itu jelas memberikan tamparan hebat buatnya sebagai pengasas produk kecantikan wanita.

“Hendak fikirkan logik, tak patut jadi hitam sebab saya berpurdah. Lama-kelamaan saya perasan, muka saya jadi macam hangus walaupun bahagian kulit lain putih. Tidak logik, tapi saya tak fikir pelik-pelik.

“Semua orang tegur kenapa muka saya macam itu, padahal dulu licin, bersih dan putih. Pemilik produk takkan muka macam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, pelbagai barangan berunsur khurafat dan tahayul masih menjadi kepercayaan sesetengah pihak malah dijual secara terbuka termasuk menerusi dalam talian.

Dalam pada itu, Syarifah Furaiha memaklumkan, melihat kepada keadaan fizikal dan tahap kesihatan yang menurun dia terus bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.

“Keadaan bertambah buruk apabila rambut saya banyak gugur dan muka saya berubah warna setiap hari. Sekejap hitam, sekejap biru, sekejap pucat macam mayat, malah saya kerap mengalami muntah-muntah.

“Malangnya selepas bertemu doktor dan bermacam-macam doktor, namun mereka tidak dapat mengesan punca dan masalah dihadapi saya,” jelasnya.

Bukan setakat itu sahaja, usahawan muda itu turut me­rasai gangguan seperti melihat sesuatu kelibat di rumahnya.

“Apabila sampai tahap begitu, saya mula sedar ada benda tidak betul, namun saya tidak pernah berputus asa memohon perlindungan kepada Allah SWT walaupun sehingga kini belum pulih sepenuhnya,” katanya.