Katanya, bagi Tabung Haji, kesihatan jemaah adalah keutamaan kerana apabila jemaah tidak sihat, sudah tentu mereka sukar melakukan amalam ibadat di Arafah, Muzdalifah dan Mina, terutama dalam keadaan cuaca sekarang.

Sehubungan itu, agensi itu mengambil langah proaktif iaitu mencegah sebelum jemaah mendapat sakit lebih teruk kerana masih ada jemaah enggan ke klinik mendapatkan rawatan walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Antara alasan yang membuatkan jemaah enggan berjumpa doktor kerana takut disebabkan penyakit, mereka akan ditahan di hospital dan tidak dibenarkan ke Arafah pada Hari Wukuf, katanya.

Beliau berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana Tabung Haji akan sentiasa berusaha memastikan jemaah berpeluang melakukan wukuf di Arafah walaupun terpaksa dengan membawa mereka di dalam ambulan.

Sebagai langkah pencegahan, Tabung Haji menubuhkan pasukan petugas kesihatan yang akan mengunjungi bilik-bilik jemaah bagi bertanya khabar dan membuat saringan kesihatan awal.

Tambahnya, lawatan tersebut bertujuan memastikan jemaah yang tidak sihat boleh terus dibawa mendapatkan rawatan awal di klinik yang terdapat di penginapan masing-masing.

Katanya, konsep pencegahan atau mengesan awal jemaah yang sakit telah berjaya menggurangkan bilangan jemaah yang dimasukkan ke hospital, terutama menjelang Hari Wukuf iaitu kemuncak ibadat haji.

Beliau berkata, di musim panas ketika ini, penjagaan kesihatan jemaah dari awal amat penting terutama bagi jemaah yang kurang minum air kerana boleh memberi kesan ketika berada di Masyair nanti.

“Malahan setiap jemaah akan dibekalkan dengan pek serbuk air garam apabila berada di Masyair nanti bertujuan mengelak masalah dehidrasi atau kekurangan air dan garam dalam badan,” tambahnya.

Sejak tahun lepas, Tabung Haji telah membawa lebih ramai doktor awam dan keluarga yang memberi fokus kepada aspek-aspek penjagaan kesihatan atau rawatan awal sebelum penyakit menjadi kritikal.

Menyentuh mengenai tenaga pengamal kesihatan yang bertugas tahun ini, Syed Saleh berkata, untuk musim haji kali ini, 60 doktor yang 23 daripadanya adalah doktor pakar dalam pelbagai bidang ditempatkan di klinik-klinik Maktab dan hospital Tabung Haji. - UTUSAN ONLINE

INFO JEMAAH HAJI

• 4 Julai - Penerbangan KT1 tiba di Madinah

• 17 Julai - Penerbangan terakhir jemaah ke Madinah

• 18 Julai hingga 5 Ogos - semua penerbangan ke Jeddah dan dibawa terus ke Mekah

• Setakat 11 Julai - 15 penerbangan sampai di Madinah

• 8 penerbangan MAS, 7 penerbangan Flynas (Arab Saudi)

• 6,514 jemaah tiba di tanah suci

• 30 peratus di Mekah, 70 peratus di Madinah

INFO MAKTAB

⁃ Dibahagi 4 zon - A hingga D

⁃ Melibatkan 13 bangunan/hotel

⁃ 9 maktab - 77, 78, 79, 80, 81, 82, 84, 86, 87

⁃ Jarak maktab-Masjidil Haram - antara 600 - 900 meter

⁃ Setiap maktab - 3,270 jemaah