“Saya akan menutup kitaran (bersama pasukan Portugal) pada penghujung Piala Dunia kerana faktor usia dan keletihan,’’ ujar pemain berusia 32 tahun itu kepada Radio Brazil, Globo.

Deco memulakan karier antarabangsanya bersama Portugal dalam aksi persahabatan menentang negara kelahirannya, Brazil pada Mac, 2003.

Dia memiliki 72 cap antarabangsa dan menjaringkan lima gol. Dia turut beraksi pada Kejohanan Eropah 2004 dan 2008, selain Piala Dunia 2006.

“Tanggungjawab sentiasa besar. Pada saya, skuad 2006 lebih berpengalaman, manakala skuad sekarang membariskan ramai pemain muda. Daripada segi teknikal, ia tidak banyak berbeza,’’ ujarnya lagi.

Deco, yang kini beraksi bersama pendahulu Liga Perdana England, Chelsea pernah merangkul Liga Juara-Juara Eropah pada 2004 ketika menyarung jersi, malah dia juga merangkul kejuaraan Eropah 2006 bersama gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona.

Deco mengakui dia merancang untuk kembali ke Brazil dan beraksi bersama kelab di negara itu selepas tamat hujung musim depan.

Piala Dunia akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai. - Reuters