LEE LAM THYE

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye mengemukakan cadangan itu rentetan pendedahan Utusan Malaysia mengenai persekitaran, koridor dan laluan di PA seta PPR yang dijadikan stor oleh penduduk.

Meskipun dilihat seperti tiada apa yang membahayakan, namun Lam Thye menegaskan bahawa kesan buruk boleh menimpa peng­huni perumahan tersebut sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran.

“Jangan sampai dah terhantuk baharu nak terngadah. Lebih baik menghalang daripada menunggu berlakunya perkara tidak diingini.

“Saya juga ingin cadangkan supaya DBKL meningkatkan rutin pemantauan terhadap PA dan PPR ini. Kalau boleh kenakan tindakan terhadap penghuni yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Perumahan Awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan per­sekitaran pangsa­puri, PPR dan PA terutamanya laluan koridor dan tangga dijadikan ‘stor’ kepada penghuni untuk meletakkan pelbagai barang.

Perbuatan itu dilihat mampu mengundang ba­ha­ya memandangkan lokasi tersebut merupakan laluan kecemasan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

Mengulas lanjut, Lam Thye menasihatkan para penghuni perumahan tersebut supaya menyedari tindakan mereka itu boleh membahayakan banyak nyawa yang mendiami kawasan berkenaan.

Katanya, soal keselamatan tidak boleh dikompromi dan para penghuni sewajarnya sedar perbuatan mereka meletakkan barangan masing-masing seperti sofa, motosikal dan sebagainya di laluan koridor hanya mengundang padah.

“Apa yang merisaukan jika berlaku kecemasan khususnya kebakaran. Laluan ini yang akan digunakan, kalau terhalang dengan banyak barang, sudah tentunya boleh membahayakan nyawa,” jelas beliau.