Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daya tahan dan daya juang PNB sepanjang 38 tahun ditubuhkan merupakan tonggak kejayaan syarikat itu bertahan dalam asakan luaran dan dalaman.

Menurut beliau, cabaran semasa termasuk nilai eksport negara, kadar pertukaran mata wang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) tidak menjejaskan PNB.

“Sejak dahulu lagi saya kagum dengan PNB yang mempunyai mempunyai daya tahan, daya juang, daya saing yang luar biasa menghadapi kekangan dalam dan luar.

“Daya tahan PNB ini harus dijadikan penanda aras untuk mana-mana syarikat kerajaan atau syarikat-syarikat yang diberikan peranan sebagai agensi unit amanah supaya mengikut Prosedur Operasi Stan­dard (SOP) dan tatacara urus niaga yang dilakukan oleh PNB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Menurut Ahmad Zahid, tiada siapa yang menyangka selepas 38 tahun ditubuhkan, menerusi suntikan modal awal sebanyak RM200 juta, PNB kini mempunyai nilai pelaburan unit amanah RM268 bi­lion.

Beliau berkata, PNB turut menguasai lebih 200 syarikat besar termasuk hartanah juga syarikat asing sehingga PNB dikenali di seluruh dunia.

Dalam memperkatakan kejayaan PNB hari ini, Ahmad Zahid berkata, jasa dan kerja keras kumpulan perintis yang menggerakkan PNB 38 tahun lalu tidak harus dilupakan.

Kata Timbalan Perdana Menteri, daripada rancangan di atas kertas, PNB yang diwujudkan untuk memberi peluang pegangan ekuiti kepada bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), muncul sebagai pengurus saham amanah paling berjaya.

“Antara insan berhati mulia merintis PNB ialah Pengerusi pertama PNB, Tan Sri Desa Pachi. Catatan kejayaan PNB hari ini selepas 38 tahun ditubuhkan tidak boleh terpadam daripada sejarah.

“Mengenang kembali penubuhan PNB 38 tahun lalu bukan sekadar nostalgia. Perjuangan kumpulan perintis ini telah menjadikan PNB syarikat gergasi. Para perintis PNB harus diberikan pujian,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, niat dan objektif yang mahu dihasratkan oleh PNB sejak 38 tahun lalu sudah berjaya dan ia sesuatu yang harus disyukuri.

“Lantaran itu kita jangan mudah lupa terhadap perjuangan perintis PNB yang sebelum ini bersusah payah sehingga membawa kepada kejayaan PNB hari ini,” katanya.