Pakar ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram menjelaskan, berikutan kejutan harga minyak pada pertengahan dan akhir tahun 1970-an, inflasi telah tersebar ke seluruh dunia.

Tambahnya, Rizab Persekutuan AS kemudiannya telah menaikkan kadar faedah secara mendadak untuk membendung inflasi yang sekali gus telah mempercepatkan krisis fiskal dan hutang pada awal tahun 1980-an di banyak negara terutamanya di Amerika Latin, Afrika dan Eropah Timur.

“Krisis hutang kerajaan yang tidak dijangka itu memaksa banyak negara mendapatkan bantuan kewangan dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. IMF menyediakan kemudahan kredit kecemasan yang memerlukan program penstabilan (harga) untuk menurunkan inflasi.

“Bank Dunia menyediakan kredit jangka sederhana dan panjang kepada kerajaan-kerajaan ini dengan syarat mereka menggunakan program pelarasan struktur (SAP) yang secara amnya menetapkan globalisasi ekonomi, pembatalan kawal selia nasional (atau domestik) dan penswastaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi artikel tulisannya bertajuk ‘Promoting Privatization’ yang disiar menerusi portal agensi berita Inter Press Service (IPS) hari ini.

Tambah Jomo, sejak daripada itu, institusi kewangan antarabangsa tersebut telah lebih berkuasa berbanding negara-negara membangun berbanding sebelum ini.

“Tidak lama selepas itu, penswastaan menjadi keperluan kepada standard SAP, oleh itu, banyak kerajaan di negara-negara membangun terpaksa menswastakan oleh kerana syarat pinjaman SAP.

“Banyak kerajaan lain secara sukarela mengguna pakai dasar tersebut yang menjadi tonggak standard ‘Washington Consensus’ yang dikaitkan dengan Bank Dunia, IMF dan konsensus dasar AS pada 1980-an,” katanya.- UTUSAN ONLINE