Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) supaya mempertimbangkan semula dasar berkenaan kerana rata-rata pengiring jemaah haji itu bukanlah daripada kalangan orang berada.

Jelas beliau, caj penuh menunaikan haji mengikut pakej Muassasah tanpa subsidi berjumlah RM22,900 itu dilihat sangat membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan kewajiban rukun Islam kelima itu.

“Jika mengikut dasar lama Tabung Haji, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60 hingga 70 tahun.

“Jadi, adalah tidak wajar dikenakan caj penuh kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan sedangkan kebanyakan mereka bukanlah daripada kalangan senang dan mewah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan tidak layak mendapat subsidi haji seperti tahun-tahun sebelum ini sekali gus menyaksikan setiap pengiring perlu membayar kos penuh iaitu sebanyak RM22,900 walaupun kali pertama mengerjakan ibadah berkenaan. - UTUSAN ONLINE