RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, sebarang bentuk provokasi untuk mengangkat isu yang dikendalikan oleh badan persendirian atas dasar "kesamarataan" walaupun bersifat pendidikan tidak boleh diterima selagi belum dijadikan dasar dan polisi negara.

Menurut beliau, tindakan pemimpin DAP yang bersungguh-sungguh memperjuangkan isu UEC seolah-olah menunjukkan mereka sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mana DAP adalah sebahagian daripadanya.

"Yang anehnya kenapa begitu tergesa-gesa pemimpin DAP memberi pengiktirafan kepada UEC ini?

"Adakah mereka beranggapan UEC ini perlu disegerakan pelaksanaanya sebelum sesuatu peralihan kepimpinan politik di luar jangka berlaku atas kehendak majoriti kerusi Parlimen atau atas dasar kuasa rakyat?" katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Isu pengiktirafan UEC terus dipersoalkan selepas Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran semalam memaklumkan pemegang sijil itu layak menyambung pengajian dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

Bagaimanapun, menurut Kulasegaran, pemegang sijil berkenaan perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

Dalam pada itu, Rahmad turut mengingatkan supaya pemimpin DAP lebih memberi fokus dalam soal memperkukuhkan sokongan serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan PH ketika ini.

Ini kerana, katanya, kerajaan PH hari ini semakin dihimpit defisit sokongan rakyat akibat kecacatan pentadbiran serta ketidakstabilan kerjasama sesama parti komponen sekali gus perlu diselesaikan berbanding DAP membuang masa membangkitkan isu di luar kawalan parti berkenaan. - UTUSAN ONLINE