Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, isu kesesakan dihadapi setiap hari di pintu masuk berkenaan menjadi keutamaan agar ia dapat ditangani seterusnya diselesaikan dengan Kementerian Dalam Negeri diberi tanggungjawab mengetuainya.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha mengatasi kesesakan di sebelah negara ini dan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diadakan Rabu lalu.

"Antara perkara saya boleh sebut yang kita cuba selesaikan secepat mungkin ialah menambah bilangan petugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen, menambah baik teknologi, menambah lorong serta membina laluan pejalan kaki berbumbung.

"Ia melibatkan dana dan peruntukan itu sebenarnya Jawatankuasa Kabinet sudah luluskan pada peringkat awal ini kira-kira RM70 juta. Kita memerlukan lebih daripada itu tetapi ia yang segera," katanya selepas merasmikan program 'Trash Challenge 2019' anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Astana dan Villa Rose Mawar di Pantau Batu Hitam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE