Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan, pembinaan SJKT itu telah siap 95 peratus dan hanya menunggu baki kerja-kerja berkaitan sistem pembentungan untuk disiapkan sepenuhnya, dan dijangka akan diserah untuk operasi pada Disember ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, kelewatan penyiapan projek tersebut adalah disebabkan dua isu utama.

Antaranya kata beliau, adalah pengambilan masa untuk menutup jalan masuk sementara yang merentasi tapak pembinaan SJKT Bandar Seri Alam, yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) sebelum ini untuk pembinaan projek perumahan di kawasan tersebut.

“Kementerian mahu memastikan laluan sementara itu ditutup dari awal lagi bagi menjamin sekolah yang disediakan adalah sempurna dan bebas daripada sebarang isu kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Nie Ching menjelaskan, isu kedua adalah projek SJKT itu juga masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Indah Water Konsortium (IWK) bagi sistem pembentungan di sekolah yang mana ia berkait rapat dengan infrastruktur disediakan oleh pemaju perumahan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pihak kontraktor telah menyediakan kerangka penyelesaian jangka pendek untuk tujuan itu dan telah mendapat kelulusan IWK namun dikenakan syarat berkaitan sistem pembetungan berpusat dan sedang menunggu kelulusan pihak IWK.

“Kementerian juga telah memohon kerjasama IWK supaya menyegerakan kelulusan agar projek sekolah dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya. - UTUSAN ONLINE