Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kerosakan pada jentera bukan hanya disebabkan kerosakan PTO semata-mata tetapi juga kerosakan-kerosakan lain yang berpunca daripada kekerapan penggunaan jentera bagi tujuan operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan & khidmat kemanusiaan dan tugas-tugas khas oleh Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negara.

Sebagai contoh, katanya, bagi negeri Selangor purata panggilan operasi adalah sebanyak 17,161 setahun atau 536 operasi bagi setiap jentera FRT setahun atau 44 panggilan operasi sebulan.

“Dengan usia jentera FRT yang telah mencapai usia antara tujuh hingga 12 tahun, purata kerosakan sebanyak 10 kali bagi setiap jentera adalah sesuatu yang normal. Berikutan penggunaan yang tinggi maka ia wajar ditukar kepada jentera baru bagi melancarkan operasi pihak Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar Harian Metro pada 15 April lalu bertajuk `Jentera RM165 Juta Tersadai` berhubung 97 unit jentera bomba yang dibeli pada tahun 2007, 2010 dan 2014 mengalami kerosakan besar dalam jangka waktu singkat.

Zuraida berkata, sebuah Jawatankuasa Siasatan (JKS) telah ditubuhkan pada 17 April 2019 bagi menjalankan siasatan berkaitan pengurusan perolehan dan penyenggaran 242 Unit Fire Rescue Tender (FRT).

Beliau berakta, jawatankuasa itu telah memulakan siasatan pada 19 April sehingga 30 Jun lalu dengan membuat lawatan ke Pusat Kejuruteraan Salak Tinggi, Kejuruteraan Jentera Negeri Selangor dan Kejuruteraan Jentera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan JKS mendapati bahawa pihak JBPM telah membuat perolehan FRT tersebut pada tahun 2007, 2011 dan 2012 dan usia jentera-jentera FRT tersebut telah mencapai antara tujuh hingga 12 tahun.

“Isu pembekal gagal menyediakan reka bentuk, peralatan dan pemasangan yang betul adalah tidak benar kerana pihak JBPM telah memastikan semua proses penyediaan rekabentuk dan spesifikasi jentera dipatuhi. Oleh itu, jawatankuasa mendapati isu yang dibangkitkan adalah tidak timbul sama sekali,” katanya.

Jelas Zuraida lagi, pihak kementerian sentiasa memastikan cadangan peruntukan penyenggaraan jentera bomba disediakan dan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan melalui perbelanjaan mengurus setiap tahun dan sekiranya peruntukan tidak mencukupi, permohonan peruntukan tambahan akan dikemukakan.

“Oleh yang demikian, tidak timbul isu pemotongan peruntukan bagi tujuan penyenggaraan oleh kementerian ini seperti mana laporan akhbar. Kementerian mengambil serius terhadap laporan yang dikeluarkan oleh Harian Metro bertarikh 15 April 2019 yang mana ia telah menjejaskan nama baik kementerian dan JBPM secara khususnya sebagai sebuah Jabatan yang penting dalam pencegahan, pemadaman kebakaran dan khidmat kemanusiaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE