Menurut mereka, struktur bangunan menempatkan kelas prasekolah itu terbiar uzur dan membahayakan keselamatan pelajar setelah terbengkalai lebih setahun lalu.

Mereka mendakwa, masalah itu menyebabkan seramai 25 murid yang sebelum ini belajar di kelas yang daif itu terpaksa dipindahkan dan menumpang di bangunan kelas lain.

Seorang penduduk, Naim Sulaiman, 58, berkata, pada tahun lalu bangunan kelas prasekolah itu hanya ditukar bumbung sahaja, tetapi dinding kayu tidak ditukar hingga kebanyakan kayunya menjadi reput.

Katanya, mereka sedih melihat keadaan SK Bertam yang dibina pada tahun 1938 itu apabila tidak dapat menampung murid sekolah yang semakin bertambah setiap tahun.

“Kami difahamkan, masalah itu sudah beberapa kali dilaporkan kepada Jabatan Pendidikan negeri tetapi sehingga kini dipandang sepi pihak terbabit.

“Bukan kelas pra sekolah sahaja yang uzur, malah enam kuarters guru binaan kayu juga daif apabila dinding reput dan atap tercabut,” katanya di sini hari ini.

Dinding kayu SK Bertam reput bahayakan murid, guru
Keadaan persekitaran SK Bertam yang tidak terurus dan daif.

Tambah Naim, walaupun keadaan kuarters itu daif, namun guru terpaksa juga menghuninya kerana tiada kuarters lain di kawasan SK Bertam itu.

“Masalah itu juga menyebabkan guru terpaksa menyewa rumah dan tinggal jauh dari kawasan sekolah seperti di bandar Gua Musang, Kampung Jerek dan beberapa kampung berhampiran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rohana Saidin, 48, pula berkata, masalah kelas pra sekolah dan kuarters guru yang daif itu tidak seharusnya berlaku dalam zaman yang serba maju kini.

“Kita berharap pihak kerajaan dapat membina kemudahan yang sempurna untuk murid dan guru di SK Bertam. Kami selaku ibu bapa amat risau dengan keselamatan anak-anak dan guru yang mengajar anak kami.

“Kita kecewa apabila pihak terbabit lebih mengutamakan kerja membaiki bangunan sekolah atau kuarters guru di sekolah kawasan bandar sahaja, manakala yang berada di kawasan luar bandar pula dipinggirkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE