Dalam operasi yang turut disertai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud itu, seramai 19 wanita warga asing berkenaan ditahan ketika serbuan dilakukan di beberapa buah hotel bajet di Jalan Rangoon, Georgetown di sini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 wanita warga Thailand; tiga dari Myanmar dan seorang dari Laos berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua yang ditahan menerusi Ops Gegar itu dikesan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan menawarkan aktiviti pelacuran.

Katanya, ketika ditahan, tiada pelanggan bersama wanita berkenaan namun pihaknya menjumpai wang tunai, kondom yang sudah digunakan serta dadah jenis syabu dipercayai milik pelanggan.

"Berdasarkan dokumen yang diperiksa, mereka masuk ke negara ini menerusi jalan darat iaitu melalui Changlun dan Bukit Kayu Hitam.

"Mereka juga dikesan memasuki negara ini dua kali sebulan sejak November tahun lalu dan tinggal sekurang-kurangnya dua minggu sebelum keluar melalui Changlun ke Sadao untuk cop pas masuk dan kemudiannya masuk semula ke sini," katanya kepada pemberita selepas operasi malam tadi.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua wanita berkenaan disiasat mengikut Perkara 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menjalankan kegiatan pelacuran dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Dalam pada itu, kata beliau, Jabatan Imigresen akan mengkaji untuk memperketat kawalan kemasukan pelancong yang menggunakan pas lawatan sosial khususnya dalam kalangan mereka yang kerap memasuki negara ini.

"Kaedah yang akan digunakan adalah soal siasat dengan lebih mendalam di pintu-pintu masuk negara.

"Namun, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum kaedah ini dilaksanakan kerana kita tidak mahu mereka yang benar-benar masuk sebagai pelancong teraniaya," katanya. - UTUSAN ONLINE