Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Dr Bamini KPD. Balakrishnan, 39, berkata, keputusan itu bagi melahirkan rasa empati kepada pelajarnya, Richelle Hii Hua Yin, 20, yang dikesan menghidap kanser itu sejak Februari lalu.

“Pada awalnya pelajar ini dikesan menghidap kanser tulang di bahagian lutut. Namun, sebelum menjalani rawatan kemoterapi yang pertama pada awal Mac, pemeriksaan yang dilakukan mendapati sel kanser merebak ke paru-paru.

“Pada 16 Julai lalu, dia menjalani rawatan kemoterapi kali ke-8, sebelum dua lagi rawatan susulan. Kita berharap dia beransur sembuh dan pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bamini berkata, sebenarnya ada pelbagai cara untuk menunjukkan kebaikan dan sokongan kepada Richelle, tetapi beliau memilih untuk mencukur rambut bagi menunjukkan rasa kebersamaannya terhadap pelajar yang berasal dari Beluran, Sabah itu.

“Saya mahu pelajar ini tahu bahawa kita semua ada untuknya dan dia tidak bersendirian melalui saat-saat sukar, terutama dalam menanggung kesakitan yang dialami.

“Tiada niat untuk mencari populariti. Saya cuma mahu memberikan dia galakan dan keberanian untuk terus kekal positif. Saya juga ingin mengajak rakan-rakan dan orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bagi pelajar ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Richelle pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan selain pintar dalam kelas.

“Beliau berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang pada peperiksaan semester satu dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.6, dan aktif sebagai anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis),” katanya. - UTUSAN ONLINE