Presidennya, Datuk Azih Muda yang membuat pengumuman tersebut berkata, pihaknya percaya TPPA akan memberikan pelbagai keuntungan kepada rakyat dan negara.

“TPPA adalah transformasi berkaitan ekonomi dan ini menjadi hasrat kita semua kerana apabila ekonomi berkembang, peluang pekerjaan akan bertambah di samping mampu memberikan persaingan yang sihat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 1,300 pegawai dan anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi hadir dalam Perhimpunan Penguatkuasaan Sektor Awam anjuran CUEPACS yang diadakan buat kali pertama di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Jalil Marzuki dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Raihan Sharif.

Sementara itu, Azih memberitahu, sungguhpun CUEPACS menyokong pelaksanaan TPPA, terdapat satu bab di dalam dokumen perjanjian tersebut yang perlu diteliti kerajaan iaitu berhubung orang asing menjadi pemimpin kesatuan sekerja di negara anggota.

“Kami tidak bersetuju warga asing boleh mengetuai mana-mana kesatuan sekerja kita. Oleh itu, kita mahu kerajaan kaji kerana selepas tiga tahun perjanjian itu dimuktamadkan, perkara itu boleh berlaku.

“Jika benar warga asing dibenarkan untuk menjadi pemimpin kesatuan sekerja, mereka tidak tahu apa yang dikehendaki rakyat, tidak memahami adat resam dan budaya di negara ini. Kita mahukan seorang pemimpin yang mempunyai taraf warganegara, bermastautin dan bekerja di Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya bimbang jika berlakunya campur tangan luar akibat dijemput oleh pemimpin asing yang dilantik itu tadi bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit.