Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, Seri Paduka menunjukkan contoh dan teladan yang baik yang seharusnya menjadi ikutan seluruh umat Islam .

Kata beliau, sejak akhir-akhir agama Islam dan umatnya sentiasa mendapat penghinaan dari musuh-musuh Islam, syariat dan hukum hakamnya diperlekeh serta berlakunya perpecahan membimbangkan dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Masalah ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya semua kita berjemaah di masjid pada setiap solat fardu. Marilah kita berdoa kepada supaya Allah SWT sentiasa bersama kita. Jadikanlah kehadiran solat berjemaah pada setiap waktu sama seperti kehadiran solat Jumaat.

“Jadikan Al-Sultan Abdullah sebagai contoh, Seri Paduka sendiri solat Subuh berjemaah dan meminta rakyat supaya solat berjemaah. Kita (umat Islam) perlu menyahut seruan Rasulullah SAW untuk solat berjemaah dan menjadikan Seri Paduka sebagai contoh dan ikutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

DATUK SERI DR. ABDUL RAHMAN OSMAN
DATUK SERI DR. ABDUL RAHMAN OSMAN 

Abdul Rahman berkata, selain keagamaan, Al-Sultan Abdullah juga mempamerkan keperibadian yang terbaik dalam aspek ekonomi dan pendidikan.

“Dalam aspek ekonomi misalnya, Seri Paduka menitahkan supaya setiap masjid-masjid menubuhkan koperasi masjid. Ini langkah penting untuk kebajikan ahli-ahli masjid.

“Dalam aspek pendidikan, kita di Pahang mempunyai sebuah maahad tahfiz di Tanjung Lumpur yang menjadikan ikutan dan contoh di seluruh negara dan Seri Paduka juga menitahkan supaya membangunkan Akademi Hadis di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini,” katanya.

Jelasnya, semua itu merupakan contoh terbaik yang dipamerkan oleh Seri Paduka demi memastikan umat Islam terus di negara ini terus terbela dan bersatu padu serta tidak ketinggalan dalam aspek ekonomi.

“Jadi, sebagai rakyat di negara ini kita seharusnya berbangga mempunyai Yang di-Pertuan Agong seperti Al-Sultan Abdullah yang sentiasa mempamerkan keperibadiaan yang cukup baik dalam diri baginda.

“Marilah kita terus berdoa supaya Seri Paduka terus istiqamah dan diberikan kesihatan yang baik untuk mengetahui negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE