Pengusahanya, Syahzlina Mohamad, 38, berkata resipi menghasilkan 'coklat nise' itu diwarisi daripada nenek dan ibunya ditampilkan kembali dalam bungkusan yang lebih menarik.

Menurutnya, makanan ringan tersebut dihasilkan daripada gula nira kelapa bersama adunan kacang tanah, gandum dan santan merupakan gula-gula tradisional yang dibikin tanpa menggunakan peralatan moden.

"Gula-gula ini dihasilkan dengan tangan dan memasak menggunakan periuk dan kuali sebelum dibentuk, digunting mengikut ukuran dan dibungkus menggunakan kertas wau berwarna-warni.

"Rasanya manis dengan lemak santan dan kacang tanah tidak sama dengan gula-gula moden yang dihasilkan di kilang," katanya ketika ditemui di gerai pamerannya di tapak HPPNK, dekat sini, hari ini.

Gerai 'coklat nise' ini turut dikunjungi pemimpin negeri yang tidak mahu ketinggalan menikmati kelazatan gula-gula warisan Kelantan dan membelinya.

Syahzlina berkata, hasil produknya itu dinamakan 'Coklat Nise Legend' sebagai menghargai jasa nenek dan ibunya yang memberi ilmu untuk menghasilkannya.

"Sambutan pembeli amat memberangsangkan dan ianya turut dipasarkan secara dalam talian selain tempahan secara terus untuk juadah Aidiladha.

"Sehingga kini kira-kira 25 peniaga di daerah ini dan Machang adalah pelanggan tetap yang mendapatkan bekalan yang banyak untuk perniagaan mereka," katanya.

Tambahnya, pembeli boleh mendapatkan gula-gula itu dengan harga RM10 atau RM20 sebanyak 50 biji atau 100 biji sebotol.

"Kita sedang membina bangunan khas untuk menghasilkan gula-gula ini dengan lebih banyak bagi untuk diedarkan ke seluruh negara," katanya. - UTUSAN ONLINE