Kumpulan pelajar tingkatan empat ini yang mengambil pelbagai jurusan hanya memerlukan modal kira-kira RM300 untuk menghasilkan barangan berkenaan yang sesuai dijadikan hadiah, cenderahati dan perhiasan rumah.

Menurut guru pembimbing kumpulan `Time Creative’ itu, Nik Salida Harlina Nik Saleh, idea itu timbul selepas beliau yang juga Ketua Warden Asrama SMTM memikirkan kaedah terbaik untuk mengelak pembaziran setiap kali tiba musim cuti.

“Kebanyakan pelajar asrama akan meninggalkan kain-kain terpakai seperti selimut, baju T dan kain di asrama dan untuk mengurangkan pembaziran, saya bersama Ketua Panitia Pengajian Kejuruteraan Awan, Sarifah Daud menubuhkan kumpulan Time Creative ini untuk mencipta produk daripada kain-kain terpakai.

“Mereka kemudian berjaya menghasilkan 100 unit produk kraftangan ini yang diberi nama Nieffa Deco di mana hasil jualan adalah sebanyak RM1,000. Kami juga berhasrat untuk memperkenalkan produk itu secara dalam talian pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di Bukit Piatu di sini hari ini.

Menurut Nik Salida Harlina, kain-kain yang dikumpulkan akan dilakar dan digunting mengikut kehendak pelanggan sebelum direndam dalam campuran simen dan dibentuk dalam acuan yang direka khas mengikut barangan yang ingin dihasilkan.

Selepas itu katanya, produk berkenaan akan dijemur di bawah cahaya matahari selama 24 jam sebelum menjalani proses pengawetan antara tiga hingga tujuh hari bagi menghasilkan barangan yang mempunyai ketahanan.

Beliau memberitahu, pihaknya turut berbincang dengan tenaga pengajar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) untuk menguji ketahanan dan kekuatan produk dihasilkan.

“Apa yang membanggakan, kumpulan ini akan menyertai pertandingan Konvensyen Entrepreneur Strive For Success (YESS) 2019 yang akan berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 hingga 6 Ogos depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE