Namun, kata Chong Wei, buat masa ini, beliau mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan keluarga selain menjalankan kerja-kerja kebajikan menerusi Lee Chong Wei Foundation.

Malahan katanya, seperkara lagi yang menjadi fokus utamanya ialah mempelajari lebih banyak selok-belok pengurusan atlet setelah dipilih menggalas tugasan berat sebagai Chef de Mission (CDM) bagi mengiringi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Saya perlu belajar lebih banyak kerana dahulu saya seorang pemain dan atlet tetapi sekarang sudah jadi pegawai. Lagipun, saya dahulu hanya berada dalam sukan badminton dan sekarang mengambil alih pelbagai sukan yang mempunyai pelbagai karektor.

"Sewaktu Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di hadapan saya, saya ada cakap bahawa saya tidak layak untuk menggalas jawatan tersebut.

"Namun dia cakap saya harus menerimanya kerana saya pernah beraksi empat kali dan menang tiga kali dalam Sukan Olimpik, jadi saya lebih tahu tekanan yang dihadapi oleh seseorang atlet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran raket edisi terhadnya, Astrox 99 LCW di Lee Chong Wei Badminton Academy yang terletak di Master Badminton Club (MBC) Klebang Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE