Ahli DMJ, Abdullah Thawab Kassim berkata, DMJ berpendapat Chef Wan yang baru diangkat sebagai Ikon Felda sepatutnya memberi kata-kata semangat kepada peneroka yang kini mengalami kegusaran hidup akibat penurunan harga minyak sawit.

Menurutnya, sebagai Ikon Felda, Chef Wan sepatutnya bertanggungjawab dalam mengembangkan intelektual komuniti Felda dan generasi baharunya.

“Tapi malangnya, kenyataan pertama yang dikeluarkan setelah menyandang gelaran itu berbaur penghinaan dan tidak menjaga sensitiviti komuniti Felda.

“Budaya menghina orang yang lebih rendah kedudukannya bukanlah budaya masyarakat kita. Tindakan Chef Wan yang tidak wajar itu patut dikecam komuniti Felda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdullah Thawab berkata, jika dilihat kepada sejarah pembangunan Felda, para peneroka telah berhempas pulas dan sanggup meninggalkan keluarga untuk seketika waktu demi meneroka tanah yang disediakan kerajaan mengubah kehidupan mereka.

Tambahnya, kini, selepas 63 tahun Felda ditubuhkan, kebanyakan peneroka Felda dimamah usia tua dan tidak mampu untuk bekerja

dan mereka tidak sepatutnya dihina atas pengorbanan dilakukan selama ini dengan penghinaan yang sedemikian.

Pada masa sama, katanya, DMJ turut mempersoalkan di mana bukti anak-anak Felda membesar menjadi ulat dan sering mengambil duit kerajaan sedangkan ramai anak Felda yang berjaya, malah lebih hebat daripada Chef Wan.

“Sebagai anak Felda yang berjaya mereka tidak perlu menjadi selebriti serta membuat perkara yang lelucon untuk menjadi terkenal, cukup sekadar diketahui komuniti setempat dan berjasa kepada mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE.