MUHAMAD AKMA MOHD. ZAINOL menunjukkan menu char kuey teow makanan laut yang dijual di gerainya di Jalan Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE

Meskipun baru membuka perniagaan dan memperkenalkan menu istimewa itu kepada pelanggan kira-kira tujuh bulan lalu, namun hasil air tangan Muhamad Akma Mohd. Zainol itu mula menjadi sebutan dan rebutan ramai.

Selain menggunakan lobster atau udang karang segar yang dinaikkan nelayan di Jeti Pulau Aman di sini, menu itu lebih istimewa kerana dijual pada harga murah dan berpatutan iaitu di bawah RM25.

Paling utama, menu char kuey teow itu pula dimasak dengan resipi asli sepenuhnya oleh Muhamad Akma yang mempunyai latar belakang pendidikan kulinari serta pengalaman sebagai cef di hotel.

Menurut Muhamad Akma, 25, dia memilih untuk membuka perniagaan char kuey teow sendiri di kampung kelahirannya di sini selepas beberapa bulan mengusahakan perniagaan trak makanan di Kuala Lumpur.

Katanya, selain mahu berada lebih dekat dengan keluarga, keputusannya membuka gerai char kuey teow itu juga melihat kepada sambutan orang ramai terhadap masakan itu sama ada daripada penduduk setempat atau pelancong.

CHAR kuey teow udang galah. - UTUSAN ONLINE
CHAR kuey teow udang galah. - UTUSAN ONLINE 

Bagi membezakan perniagaanya dengan pengusaha lain pula, dia mengambil langkah berani dengan mempelbagaikan menu masakannya termasuk memperkenalkan char kuey teow udang karang.

“Selain char kuey teow biasa, saya turut menawarkan menu char kuey teow makanan laut seperi ketam, udang galah dan sotong pada harga berpatutan iaitu antara RM10 hingga RM30.

CHAR kuey teow ketam - UTUSAN ONLINE
CHAR kuey teow ketam - UTUSAN ONLINE 

“Bagi memastikan kualiti dan rasanya kekal, setiap menu char kuey teow makanan laut ini dijual antara 15 hingga 20 pinggan sahaja setiap malam dan kebiasaannya menu ini akan habis lebih awal kerana permintaan yang tinggi,” katanya.

Menurut Muhamad Akma, dia tidak menyangka menu istimewa yang diperkenalkannya itu mendapat sambutan luar malah tular sehingga turut dicari penggemar char kuey teow dari luar negeri ini.

CHAR kuey teow udang karang. - UTUSAN ONLINE
CHAR kuey teow udang karang. - UTUSAN ONLINE 

Apatah lagi, katanya, dia pernah hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaannya itu selepas gerainya musnah dalam kebakaran pada Mei lalu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM18,000.

Bagaimanapun, tambahnya, sambutan pelanggan terhadap menu char kuey teow istimewanya itu merupakan antara faktor yang membolehkannya bangkit semula selain sokongan serta galakan daripada keluarga.

“Ketika ini, saya mampu menjana pendapatan sekitar RM800 hingga RM2,000 sehari hasil perniagaan di gerai saya yang dibuka setiap hari bermula pukul 8 malam hingga 2 pagi.

“Malah, saya juga pernah menerima tempahan untuk membuka gerai pada majlis sambutan di sebuah syarikat korporat yang mana merupakan pengalaman baharu kepada saya selain membuktikan keyakinan pelanggan terhadap masakan saya,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai menu istimewa itu di laman sosial Facebook Lejen Char Kuey Teow atau menghubungi talian 016-6337669. - UTUSAN ONLINE