Ketuanya, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, sebagai seorang anak peneroka, cef selebriti itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat ‘pukul rata’ dengan melabelkan golongan peneroka sebagai pemalas.

Katanya, tukang masak terkenal itu sepatutnya membuka mata untuk melihat terdapat ramai lagi anak-anak Felda yang lebih berjaya berbanding dirinya.

“Dia memang kurang ajar dan biadab. Tidak sepatutnya sebagai anak peneroka dia bercakap begitu. Bukan semua orang jahat dan bukan semua tidak pandai menyimpan duit. Dia pun jangan anggap diri dia sahaja yang terbaik.

“Dia sendiri apa sumbangan kepada masyarakat Felda? Dia popular dari segi masakan tetapi adakah hasil usaha itu digunakan semula untuk membantu anak-anak Felda, membiayai tuisyen mereka? Tidak ada.

“Janganlah disebabkan dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda, dia terus bermulut celupar dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh. Ramai lagi anak-anak Felda yang lebih berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilihan Cef Wan sebagai Tokoh Ikon Felda juga tidak dipersetujui oleh warga Felda dan sekiranya mereka dimaklumkan terlebih awal mengenai perkara itu, cadangan melantik beliau akan ditolak.

Ini kerana katanya, terdapat lebih ramai anak-anak Felda yang berjaya dan menjawat jawatan tinggi dalam pelbagai sektor swasta mahupun kerajaan yang lebih layak menggalas tanggungjawab sebagai ikon.

“Bagi kami, kami tidak menerima dia sebagai ikon. Pelantikan itu tidak dimaklumkan dan sekiranya tahu, sudah tentu kami akan tolak kerana dia tidak layak.

“Walaupun tidak ‘restu’, kami nasihatkan dia untuk turun ke bawah dan melihat sendiri keadaan masyarakat Felda. Datang dan duduk bersama kami untuk bincangkan masalah yang berlaku,” katanya.-UTUSAN ONLINE