Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, langkah membaik pulih pembetung itu perlu dilakukan dalam kadar segera bagi mengatasi masalah pencemaran di Selat Johor lebih-lebih lagi selepas insiden ribuan ikan mati di Pantai Lido, baru-baru ini.

Katanya, hanya dua daripada enam saliran pembetung di bawah Tambak Johor yang berfungsi dengan baik manakala selebihnya tertimbus dan tidak berfungsi sepenuhnya.

"Berdasarkan tinjauan terhadap saliran pembetung itu, didapati dua daripadanya masih berfungsi manakala empat yang lain sudah tertimbus di bawah kawasan kompleks penempatan pekerja.

"Cadangan penambahbaikan dua pembetung dan membaik pulih empat lagi akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri sebelum dibawa kepada kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (Wilayah Selatan) 2019, di sini hari ini.

Terdahulu, Solihan mengadakan lawatan bagi melihat keadaan semua saliran pembetung di Tambak Johor bersama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah.

Mohd. Solihan berkata, kerja penyelenggaraan yang tidak dilakukan dengan baik sebelum ini menyebabkan saliran pembetung berkenaan tersumbat. - UTUSAN ONLINE