Pemilik Restoran Nabilicious, Mohamad Kamil Abu Bakar berkata, pengagihan bendera tersebut adalah sebagai satu usaha memupuk kesedaran kepada pelanggan di restorannya bagi meraikan Bulan Kemerdekaan.

“Jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu meraikan kemerdekaan dengan meriah siapa lagi akan berbuat demikian. Ini negara kita, di sinilah kita lahir dan dikebumikan.

“Sebanyak 2,000 Jalur Gemilang diagihkan kepada pelanggan dan akan ditambah sehingga sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti. Selain itu, kita bercadang akan meneruskan program pengagihan tersebut setiap tahun untuk terus memupuk rasa cintakan Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, program agihan bendera itu adalah kerjasama antara Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) dan Persatuan Anak-Anak Pantai Timur (Peranti).

Sementara itu, Pengerusi Kesan, Muhd. Ali Zakariah mendakwa, Bulan Kemerdekaan sepatutnya disambut secara meriah tetapi sehingga saat ini kempen mengibar Jalur Gemilang oleh pihak berkuasa amat muram sekali.

“Sepatutnya kibaran Jalur Gemilang tidak dijadikan bahan politik tetapi sebagai lambang patriotisma rakyat Malaysia,”katanya.

Sementara itu seorang selebriti, Jasmin Hamid, yang turut hadir berkata, pihaknya berasa gembira dan bersyukur kerana Malaysia terus aman dan harmoni hingga kini.

“Pada saya erti kemerdekaan sebagai anak merdeka adalah kita bebas untuk ke mana sahaja tanpa sebarang masalah walaupun pada pukul 3.00 pagi.

“Selain itu, kita bebas menentukan hala tuju negara dalam suasana aman. Kibarlah Jalur Gemilang di premis perniagaan seperti di sini mahupun di rumah kita dengan cara yang betul,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE