Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam dan beliau mengarahkan lebih banyak penglibatan pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat sebelum dimuktamadkan.

CHOW KON YEOW
CHOW KON YEOW 

“Di Pulau Pinang, kita sudah ada dasar no free plastic bag dengan caj 20 sen dikenakan atas pengguna yang masih ingin menggunakan beg plastik. Kita mendapati walaupun ada caj sejak ia dimulakan pada 2009, masih ada pengguna rela membayar untuk mendapatkan beg plastik.

“Sejak 10 tahun pelaksa­naannya, kira-kira RM8 juta ke RM9 juta kutipan caj beg plastik direkodkan. Pungutan yang begitu banyak ini menunjukkan ia masih tidak menghindar pengguna daripada mahu plastik beg dengan membayar 20 sen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan Inspiring Future Leaders anjuran Persatuan Peniaga Wanita Pulau Pinang (PWCC) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kerajaan negeri menimbang untuk menaikkan caj beg plastik kepada 50 sen seunit selepas kadar semasa didapati kurang berkesan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, sejak pelaksanaan caj 20 sen itu, 50 peratus pengguna membawa beg sendiri ketika membeli belah sekali gus menunjukkan kesedaran pengguna untuk memelihara alam sekitar.

Menurutnya, buat masa ini pelaksanaan caj beg plastik 20 sen itu hanya dilaksanakan di semua pasar raya di negeri ini.

“Apa yang kita lakukan cuma satu tindakan yang kecil ke arah memastikan alam sekitar kita tidak tercemar lagi oleh pembuangan sisa plastik secara tidak bertanggungjawab.

“Di samping itu, bukan ini sahaja. Inisiatif no single use plastic juga perlu dipergiatkan lagi. Banyak perkara yang boleh dan perlu dilakukan (untuk memelihara alam sekitar). Usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengharamkan penggunaan plastik secara sepenuhnya di negeri ini, Kon Yeow berkata, perkara itu juga akan dibincangkan bersama pihak berkepentingan.

“Masanya akan tiba, kita akan lakukan secara progresif. Lama kelamaan kita akan melihat gaya hidup baru,” katanya. – BERNAMA