Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan itu merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam bandar.

Walau bagaimanapun, jelas­nya, perkara itu masih di peringkat kajian dan penelitian lebih khusus akan dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor.

“Kita mungkin akan mengkaji keperluan untuk mengehadkan pengangkutan motosikal kecil dan kenderaan persendirian seperti di bandar besar lain. Berdasarkan kajian, pengguna bermotosikal yang memasuki pusat bandar pada waktu siang adalah antara lima hingga tujuh juta sehari.

“Langkah ini seiring dengan pelaksanaan di bandar utama lain yang turut tidak membenarkan penggunaan motosikal ini bagi tujuan pengurangan karbon,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan bulan depan.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pe­ngarah Eksekutif Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Najib Mohd.

Tengku Adnan memberitahu, pelaksanaan larangan tersebut masih belum diputuskan meman­dangkan sebahagian pengguna motosikal kecil terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Sekiranya tambang pengangkutan awam sedia ada lebih murah berbanding kos menggunakan motosikal, kita akan lihat dan kaji kemungkinan pengharaman motosikal untuk memasuki pusat bandar.

“Selain itu, motosikal jenis ini kebanyakannya digunakan oleh penjenayah untuk melakukan jenayah khususnya ragut,” ujarnya.