Ketua Jururawat Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Syisyah, Zarinah Man berkata, tidak banyak perbezaan skop kerja jururawat di sini, bagaimanapun cabaran amat berbeza terutama dari segi penyediaan fasiliti perubatan dan layanan buat duyufurrahman.

"Kami tiba bersama kumpulan petugas awal kedua pada 27 Jun lepas dan berbeza dengan di tanah air kami bekerja di fasiliti kesihatan yang sudah tersedia, di sini kami kena setkan fasiliti kesihatan itu daripada mula sehingga boleh beroperasi sempurna.

"Seperti Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah asalnya sebuah bangunan hotel, jadi kami lengkapkan fasiliti perubatan ini daripada katil, kaunter, farmasi, wad dan pelbagai lagi menjadi sebuah pusat rawatan yang mampu berfungsi memberi perkhidmatan terbaik kepada duyufurrahman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Tabung Haji.

Zarinah, Ketua Penyelia Jururawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang, berkata, daripada 66 jururawat bertugas di Tanah Suci, 38 jururawat bertugas di Pusat Rawatan Tabung Haji Syisyah, selebihnya di fasiliti lain antaranya Klinik Kecemasan Abraj Janadriyah di sini dan Pusat Rawatan Tabung Haji Al Jaffery di Madinah.

Beliau berkata, sabar merupakan sifat yang paling penting dalam diri setiap jururawat yang bertugas menyantuni duyufurrahman di Tanah Suci, selain sentiasa menetapkan niat untuk bertugas sebagai sebahagian daripada ibadah mereka di sini.

"Saya sendiri kali keenam mohon, baru diterima bertugas di sini, jadi sifat sabar lebih daripada 10 kali sabar ketika bertugas di tanah air kena ada dalam setiap jururawat itu terutama dalam menyantuni duyufurrahman," katanya yang kali keempat bertugas di Tanah Suci.

Katanya, pengalaman manisnya di sini bekerja sebagai sebuah keluarga tanpa mengira pangkat, manakala pengalaman pahit apabila jemaah haji meninggal dunia di hadapan matanya dan berusaha menahan kesedihan melihat pasangan jemaah haji itu yang datang berdua tetapi pulang seorang. - BERNAMA