Program berakit sejauh 68 kilometer bermula dari Kuala Betis ke Kampung Star itu anjuran PSMZA diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSMZA, Yaswadi Mat Yasin berkata, misi kali ini berjaya ditamatkan walaupun para pelajar perlu menempuh tujuh jeram besar dan 11 jeram kecil yang mencabar terdapat di Sungai Nenggiri.

Katanya, sepanjang misi itu, pelajar perlu melalui Jeram Kalong, Jeram Manir, Jeram Gading, Jeram Gelugor, Jeram Gelang Patah, Jeram Kerang dan Jeram Mehmod.

“Kebanyakan pelajar teruja apabila dapat menyertai cabaran berakit dan kita bersyukur apabila dapat menyempurnakan misi ini.

“Pelajar bertuah kerana dapat mengenali adat dan budaya masyarakat Orang Asli suku Temiar yang tinggal di pinggir Sungai Nenggiri. Selain itu, pelajar juga dapat melihat sendiri kawasan Kuala Jenera di Gua Chawan yang menjadi tempat penemuan satu rangka manusia prasejarah pada tahun 2018,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar PSMZA, Mohamad Khir Mohamad Fazeli Perkasa, 22, berasal dari Sarawak gembira apabila dapat menyertai misi itu.

“Kami mengambil cabaran menyusuri Sungai Nenggiri hanya dengan menggunakan rakit yang diperbuat daripada tiub tayar yang diikat pada kerangka besi.

“Dalam aktiviti berakit arus deras ini setiap rakit mempunyai enam ahli akan saling bergantung antara satu sama lain untuk membolehkan mereka melepasi setiap arus,” katanya.

Seorang lagi pelajar PNP, Syerin Putri Turmizi, 20, dari Padang teruja apabila pertama kali menyertai cabaran sempena Hari Kebangsaan negara.

“Pada penghujung misi kami berjaya sampai di Kampung Orang Asli Pos Pulat dan mengagihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat Orang Asli,” katanya. - UTUSAN ONLINE