Itulah pendapat Ketua Pakar Rujuk Musim Haji 1440H, Datuk Wan Mohamad Wan Abdul Aziz ketika memperkatakan mengenai petugas haji yang terdiri daripada kakitangan Tabung Haji, perubatan, kebajikan, keselamatan dan sebagainya.

Bagi mereka yang pernah menjadi menunai haji di bawah kelolaan Tabung Haji, mereka tentu mengetahui betapa sibuknya petugas-petugas haji sejak dari tanah air hingga ke Tanah Suci menguruskan 30,200 jemaah setiap tahun.

Untuk musim haji 1440 Hijrah, kira-kira 640 petugas memikul tanggungjawab tersebut untuk tempoh hampir dua bulan bertugas di Jeddah, Madinah atau Mekah tanpa sebarang cuti.

Kemuncak cabaran adalah ibadat di Masyair iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina dari 9 hingga 13 Zulhijjah kerana jemaah mesti berada di tempat dan waktu itu atau akan pulang sia-sia.

Pengurus Operasi Masyair, Abdul Halim Ayub berkata, petugas operasi Masyair menguruskan urusan pengangkutan, penempatan, makanan dan logistik semua jemaah sepanjang berada di Masyair.

“Cabarannya sangat besar kerana kami perlu berurusan dengan pihak muassasah dan juga pelbagai agensi dari Arab Saudi yang bertanggungjawab sepenuhnya mengenai operasi di Masyair,” katanya yang berpengalaman menjadi petugas haji sejak 2007.

Beliau berkata, Tabung Haji tidak mempunyai kuasa dalam urusan di Masyair tetapi hanya sebagai pengantara untuk mendapatkan segala kemudahan jemaah dari pihak muassasah Asia Tenggara.

Kaptain Mohamad Fuad Ahmad Fadhil yang bertugas sebagai Ketua Unit Medan di operasi Masyair juga berkongsi pengalaman sama kerana kebanyakan masalah besar yang timbul apabila jemaah berada di kawasan tersebut.

Katanya, apabila berjuta-juta umat Islam berkumpul di satu kawasan, pelbagai perkara boleh berlaku dan kebanyakan masalah jemaah adalah sesat selepas melakukan ibadat melontar di jamrah.

“Ada masanya kami terpaksa berjalan sehingga 10 kilometer kerana hendak membawa balik jemaah yang sesat,” katanya yang pertama kali menjadi petugas haji dan bertugas di Rejimen ke-52 Kor Artileri di Sungai Petani, Kedah.

Sarjan (polis bantuan) Ahmad Fauzee Mohd. Salleh yang berkhidmat di bahagian rondaan di sini pula menceritakan yang pasukan peronda pernah mengambil masa lebih empat jam untuk membawa pulang jemaah yang cedera selepas terjatuh di masjid. - UTUSAN ONLINE