Menurut Perdana Menteri, komitmen itu telah diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan dalam soal penjagaan kesihatan malah Malaysia turut mendapat pengiktirafan dunia.

Beliau berkata, antaranya majalah International Living mengiktiraf Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam bidang penjagaan kesihatan kanser.

“Semua aku janji yang kita buat selama ini, telah dapat ditunaikan. Malah dalam Manifesto Barisan Na­sional (BN) baru-baru ini, kita tetapkan penjagaan kesihatan dan gaya hidup antara satu daripada 14 bidang keutamaan yang diperjuangkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Institut Kanser (IKN), di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Ketua Setiausaha Kementerian Kesi­hatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Perdana Menteri menambah, ke­rajaan memperuntukkan RM27 bilion dalam Bajet 2018 dan hampir RM26 bilion pada 2017 untuk bidang kesihatan.

Tambah beliau, kerajaan berusaha melakukan pelbagai penambahbaikan dan lonjakan dari segi perkhidmatan kesihatan antaranya menetapkan sasaran seorang doktor untuk 400 penduduk menjelang 2030.

Najib berkata, apa yang paling penting adalah penyediaan per­khidmatan kesihatan berkualiti tinggi dengan fasaliti terbaik di IKN mampu diakses oleh rakyat ter­utamanya kepada yang memer­lukan melalui subsidi kesihatan.

“Saya mahu rakyat meletakkan tahap kesedaran pada tahap pa­ling optimum untuk lakukan ujian saringan dan pengesanan awal penyakit kanser.

“Saya hairan ada orang terpelajar tidak mahu buat ujian kesihatan, seolah-olah mereka takut mengetahui keadaan sebenarnya, sehinggakan (apabila) dapat dikesan sudah sampai tahap empat,’’ katanya.

Selain pemeriksaan kesihatan, beliau turut menasihatkan rakyat mengamalkan pemakanan sihat kerana kadar obesiti yang agak tinggi, kerap bersenam, cukup tidur dan mengurangkan hipertensi.

Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas cetusan idea beliau sehingga wujudnya IKN bermula tahun 2007 dengan hanya 505 pesakit kini meningkat kepada 37,452 pesakit.