Pembukaan pusat latihan pembangunan tenaga mahir jurutera penguji dalam semikonduktor yang melibatkan pelaburan sebanyak RM16 juta tersebut, dilakukan menerusi satu memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat itu dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani antara P. Raja Manickam yang mewakili TSM dan Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dari NCIA, dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh NCIA, menerusi MoA itu, agensi berkenaan menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem pembangunan tenaga mahir jurutera penguji dalam bidang semikonduktor di bahagian utara negara ini.

Kata kenyataan itu, ia bagi menjadikan syarikat berkaitan elektrik dan elektronik di negara ini lebih berdaya saing.

Azlan dalam sidang akhbarnya memberitahu, kawasan seluas 1.2 hektar tanah di CVIA telah dikenal pasti untuk dibangunkan pusat berkenaan yang dijangka dapat melahirkan seramai 40 orang tenaga mahir dalam bidang tersebut setiap tahun.

"Latihan yang dikendalikan TSM sudah terbukti apabila mereka sudah melatih seramai 2,700 orang graduan di India dalam bidang itu.

Mengikut jangkaan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), kita memerlukan seramai 200 orang jurutera penguji dalam bidang semikonduktor setahun.

"Pada masa ini, negara membawa masuk jurutera penguji daripada India dengan gaji sebanyak RM15,000 sebulan dan menelan kos RM50,000 pula jika hendak melatih jurutera kita di luar negara selama tiga minggu," ujar beliau.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama turut berlangsung Majlis Penyerahan Surat Persetujuan kepada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) untuk membekalkan kajian pasaran untuk motosikal electrik (E2W). - UTUSAN ONLINE