Ini kerana, selepas sumber pendapatan mereka di laut terhenti sepanjang musim tengkujuh, kini mereka terpaksa pula berdepan dugaan apabila bubu yang telah ditanda dan diletak di tengah laut didapati hilang.

Meskipun ia merupakan fenomena biasa dihadapi kebanyakan nelayan pesisir, tetapi kali ini bubu yang hilang akibat perbuatan tidak bertanggungjawab nelayan lain khususnya bot pukat tunda tidak berlesen yang dipercayai mengerat tanda bubu tersebut.

Seorang nelayan bubu sotong, Suhaimi Abdul Ghani, 54, dari Kampung Darat Pak Chan di sini, berkata, dia tidak ke laut ketika angin kencang dan laut bergelora sepanjang musim tengkujuh kerana faktor kese­lamatan.

“Setiap kali musim tengkujuh saya hanya berehat dan mela­kukan kerja-kerja membaiki serta membersihkan teritip yang terlekat pada bubu. Sebaik keadaan laut kembali tenang, barulah saya kembali menjalankan kerja-kerja mengangkat sebahagian lagi bubu-bubu yang masih masih berbaki di laut.

“Malangnya, selepas berehat panjang, kebanyakan nelayan seperti saya terpaksa berdepan pula dugaan bubu-bubu yang bertandakan pelampung sebelum ini telah hilang sama ada hanyut dibawa arus kuat atau pun diheret oleh nelayan pukat tunda luar tidak berlesen.

“Apa yang mengecewakan, ada juga sesetengah nelayan lain bertindak memotong tali pelampung bubu,” katanya ketika ditemui di Hujung Kuala Seberang Marang di sini hari ini.

Menurut Suhaimi, ekoran itu dia dan rakan-rakannya berputih mata setiap kali keluar ke laut, malah beban terus bertambah setelah kehilangan bubu berkenaan.

“Rezeki saya hanya tertumpu di laut, hasil pendapatan tidak menentu. Nak mengharapkan hasil pendapatan melalui bubu sotong ini semata-mata sudah tentu sukar bak kata orang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kerana ada kalanya saya terpaksa balik ta­ngan kosong apabila berlakunya kejadian bubu hilang di laut,” keluhnya.