Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai perkembangan yang berlaku termasuk perebutan kuasa menunjukkan pimpinan PH hanya mementingkan jawatan dan tidak menghiraukan keluh kesah kehidupan rakyat yang semakin tertekan.

Terbaru, katanya, adalah apabila rakyat dipertonton dengan pertembungan terbuka antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Pergolakan PH bukan sahaja membabitkan PKR tetapi termasuk di Sabah ada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dan masuk UMNO semula, dan ada antara parti komponen tidak stabil, termasuk juga isu nak isytihar siapa Perdana Menteri, kita nampak dalam keadaan rakyat susah ini masing-masing berebut nak jadi menteri, jadi tidak beri fokus masa depan negara.

“Kerajaan perlu bubar parlimen beri mandat baharu supaya negara lebih stabil dan rakyat lihat masa depan lebih teratur, kalau suasana kekal begini pelabur pun hilang keyakinan, pembohongan Menteri Kewangan menyebabkan nilai matawang kita jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Online selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya persediaan Pas dan UMNO jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, beliau berkata pihaknya tidak ada masalah sekalipun pembubaran berlaku esok.

“Suasana sudah tidak stabil, kita tidak ada pilihan, tidak perlu tunggu tiga tahun. Esok pun boleh, Insya Allah Pas dan UMNO bersedia bila-bila masa,” katanya. UTUSAN ONLINE

Learn to freehand visualize your ideas