Sebaliknya, kementerian itu akan terus mengangkat seni dan budaya tempatan untuk diketengahkan dengan alasan negara ini masih mempunyai pelbagai budaya sendiri untuk diketengahkan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, Malaysia sudah cukup dengan pelbagai budaya sendiri yang boleh diangkat namun beliau enggan memberikan komen tentang cadangan KBS membawa masuk artis K-Pop

“Kita perlu pelihara seni dan budaya tempatan, negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat dan diketengahkan.

“Tetapi kita tidak bawa daripada luar untuk pengaruhi budaya kita,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan dondang sayang daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) kepada kerajaan negeri di Perkampung Hang Tuah Duyong di sini petang ini.

Beberapa pihak sebelum ini termasuk yang terbaharu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengkritik tindakan KBS yang mahu membawa masuk kumpulan K-Pop, Bangtan Boys (BTS) sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Mereka berpandangan kerajaan sepatutnya memberi peluang dan tumpuan terhadap penggiat industri kreatif tempatan untuk menjana pendapatan berbanding membawa masuk artis dari luar negara. - UTUSAN ONLINE