Perdana Menteri menerusi laman Facebooknya hari ini berkata, sebanyak 7.2 juta permohonan BR1M telah diluluskan setakat ini.

“Seperti mana yang saya nyatakan dalam ucapan Bajet 2015, BR1M akan dibiayai oleh pelaksanaan GST tidak lama lagi dan saya yakin ia akan sedikit seba­nyak membantu penerima meringankan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, BR1M kali ini akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali untuk manfaat rakyat yang memerlukan.

Najib berkata, bagi permohonan BRIM yang ditolak, mereka terbabit boleh mengemukakan rayuan mulai 1 hingga 31 Mac ini. Maklumat lanjut serta muat turun borang permohonan boleh dilakukan melalui laman e-brim.hasil.gov.my.

Dalam belanjawan 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah yang akan dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang ber­umur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350. – BERNAMA