Biarpun sudah beberapa minggu kempen tersebut digerakkan sendiri oleh pengguna, namun masih ramai pemimpin termasuk parti politik kerajaan, pembangkang ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganggapnya sebagai satu boikot.

Pelbagai kenyataan diluahkan sendiri pengguna dalam media sosial Facebook menerusi kumpulan Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia yang kecewa dengan sikap para pemimpin Melayu.

Menurut seorang pengguna dikenali sebagai Eman Shamsudin, pemimpin Melayu terutama dalam kerajaan dilihat tidak sehaluan dengan rakyat yang mahu pemerkasaan ekonomi bumiputera dilakukan.

“Pemimpin Melayu dalam kerajaan tidak sehaluan dengan matlamat kempen, mereka macam takut dengan puak tertentu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Rahman Miswan turut meluahkan kekecewaan apabila ramai pemimpin masih menganggap kempen ini sebagai gerakan memboikot produk bukan bumiputera.

“Masih ada lagi yang tidak taham maksud #BMF, kita tak boikot ‘non Muslim’, kita cuma utamakan barangan orang Islam. Mencari yang halal itu fardu,” ujarnya.

Dalam pada itu seorang pengguna, Asri Wahid menyeru supaya tidak mempedulikan pemimpin yang enggan menyokong untuk memperkasakan ekonomi ummah.

“Abaikan mereka, kita terus fokus, ingat matlamat adalah untuk memperkasakan ekonomi orang Islam dan bumiputera. Jangan terpengaruh dengan kata-kata mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE