MOHD. AL IMAN ZAKARIA

Hal ini kerana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara, Mohd. Al Iman Zakaria, kempen yang digerakkan itu bukanlah bermaksud mahu memboikot produk keluaran bukan Muslim dan bumiputera, tetapi lebih kepada mengutamakan produk keluaran Muslim yang halal dan bersih.

Beliau malah menafikan bahawa kempen itu bersifat rasis, sebaliknya merupakan usaha membantu ekonomi orang Islam yang akan memanfaatkan semua pihak termasuklah bukan Muslim ke arah memgembangkan ekonomi negara.

"Kami berpendapat, adalah lebih baik sekiranya kempen membeli produk dan barangan keluaran orang Islam disokong semua pihak daripada terpalit dengan isu boikot.

"Apabila usaha ini mendapat sokongan semua pihak, lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi dapat direbut serta dimanfaatkan apabila produk dan barangan keluaran tempatan mendapat tempat di persada Asia dan antarabangsa.

"Secara tidak langsung, kejayaan itu nanti akan dapat mengurangkan jarak perbezaan jurang ekonomi antara rakyat Malaysia selain menyumbang kepada keharmonian ekonomi bersama-sama," katanya dalam kenyataan.

Yayasan Patriot Negara merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertujuan untuk memupuk dan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya golongan remaja dan belia.

Mohd. Al Iman dalam pada itu percaya, persaingan sihat dalam sektor perniagaan akan memacu ekonomi negara ke arah lebih sihat dan maju lagi.

"Berikutan itu, kami menolak usaha memboikot produk bukan Muslim, sebaliknya kami menyokong kempen mengutamakan produk Muslim," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE