Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bluzelle Networks, Pavel Bains berkata, teknologi blockchain telah melepasi peringkat ia diuar-uarkan, malah dalam melangkah maju, masyarakat dan syarikat akan memanfaatkan platform ini untuk menyimpan data mereka secara selamat.

“Apa yang diperlukan untuk masa depan ialah individu harus menjadi pemilik datanya sendiri dan mempunyai ‘wall’ supaya boleh menguruskan dan menyimpan data sendiri selain pihak lain boleh mendapat akses kepadanya.

“Jika anda sedar, platform media sosial seperti Facebook (contohnya) menjana wang daripada data anda, oleh itu, anda boleh mendapat bahagian daripada perolehannya,” katanya ketika sesi panel bertajuk ‘Cabaran dan Hala Tuju dalam Evolusi Blockchain’ di persidangan Wild Digital Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Bains berkata, antara syarikat yang kini menggunakan blokchain untuk menyimpan data mereka adzalah firma rangkaian hotel dan penerbangan.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif platform perkhidmatan kewangan Coin.PH, Ron Hose berkata, dengan rangka kerja yang menggalakkan oleh bank pusat, ‘stablecoin’, kelas baharu mata wang kripto yang menawarkan kestabilan harga dan atau disokong oleh aset rizab dan e-dompet akan mula diterima, dengan teknologi blockchain akan memberi kemudahan.

“Bagaimanapun, mata wang kripto di rantau ini masih berada di peringkat kesedaran dan asas. Terdapat permintaan kukuh dari China dan Hong Kong,” katanya.

Beliau berkata, cabaran dalam perniagaan mata wang kripto bukan dari segi teknologi tetapi dari sudut kesediaan dalam kalangan masyarakat.

Hose berkata, orang ramai perlu tahu bagaimana teknologi blockchain dapat memberikan lebih nilai kepada perniagaan dan kehidupan secara keseluruhan.

Blockchain merupakan lejar digital awam, tidak berpusat dan teragih yang digunakan untuk merekod transaksi antara pihak dengan cekap. - BERNAMA