Anwar yang merakamkan salam takziah atas pemergian tersebut berkata, bekas Presiden Indonesia itu dan isterinya iaitu Allahyarham Ainon telah menjaga beliau selepas bebas dari penjara.

“BJ Habibie seorang individu saya anggap sebagai keluarga dan sangat prihatin tentang derita yang saya lalui semasa saya selesai operasi, bebas dari penjara dimana Allahyarham dan Allahyarhamah Ibu Ainon menjaga saya.

“Saya mewakili PKR mengutuskan salam takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya, hari ini.

Jelas Anwar, beliau melihat BJ Habibie sebagai seorang pemimpin yang bijak dan bukan seperti ahli politik biasa.

“BJ Habibie ini bicara dari keyakinan serta dari hati nurani. Perkara ini saya lihat sebagai sesuatu yang unik dari seorang tokoh dan pemimpin besar yang pastinya akan dirindui serta dikenang semua pihak,” katanya.

BJ Habibie meninggal dunia pada usia 83 tahun di Jakarta pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan).

Habibie menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto.

Berita duka pemergian Presiden ketiga negara itu disahkan anak lelakinya, Thareq Kemal. - UTUSAN ONLINE