Imam dan juga guru sebuah sekolah di Kelantan itu menerangkan bagi pihak rakan sebiliknya yang bisu, Ibrahim Ahmad, 62, dari Pokok Sena, Kedah mengenai perkembangan Ibrahim selepas hampir dua minggu berada di tanah suci.

Zainal Abidin berkata, rakan barunya itu juga cepat belajar kerana selepas dibimbing bagaimana hendak melakukan ibadat di Masjidilharam, dia kemudiannya dapat ke masjid itu bersendirian.

Ibrahim dan isteri, Azizah Mat Zain, 54, yang juga bisu dan pekak ditemani kakaknya, Aazinah Ahmad, 68, dari Pokok Sena, Kedah.

Aazina yang menjadi penterjemah adik dan adik iparnya berkata, mereka bertiga berasa sangat bersyukur dan gembira apabila terpilih untuk menjadi tetamu Allah bagi musim haji kali ini.

“Adik-adik ni sangat bijak, mereka pandai baca bibir dan pandai mencari arah atau jalan ke mana-mana,” katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Aazina berkata, keluarga mereka mempunyai tujuh beradik dan Ibrahim merupakan salah seorang daripada dua adiknya yang bisu.

“Jadi mak cik tak ada masalah nak berkomunikasi dengannya dan isteri walaupun tidak pernah belajar bahasa isyarat,” katanya yang telah kematian suami 10 tahun lalu.

Pasangan yang bekerja sebagai penoreh getah itu mempunyai dua orang anak angkat dengan salah seorang daripadanya sedang mengikuti kursus matrikulasi sains.

Azizah berkata, hasrat utamanya apabila telah berada di Tanah Suci ialah untuk mendoakan kejayaan anaknya agar dapat memasuki universiti selepas ini.

Ibrahim memberitahu, daripada kerja menoreh, dia dan pasangan mengumpul wang sejak sembilan tahun lalu bagi mencukupkan simpanan untuk menunaikan haji.

Ditanya bagaimana mereka mempelajari mengenai ibadat haji, dia memaklumkan, buku-buku panduan haji dijadikan rujukan utama, selain melihat bahan-bahan ceramah pembimbing haji di skrin.

Ibrahim dan pasangannya juga ingin memaklumkan kepada ahli keluarga di tanah air yang mereka dalam keadaan sihat dan mendoakan agar dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurna. - UTUSAN ONLINE