Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, terdapat sekurang-kurangnya dua buah pulau berpotensi untuk dibangunkan pusat berkenaan hasil tinjauan yang dilakukan pihaknya.

Menurutnya, tempat berkenaan juga akan menjadi pusat rawatan dan pemulihan pertama di negara ini yang dibangunkan di sebuah pulau yang tiada penempatan, sekiranya cadangan itu diluluskan kerajaan.

“Selain menguruskan proses rawatan dan pemulihan, pusat bersepadu ini juga akan meliputi inisiatif-inisiatif vokasional seperti perikanan, tanaman dan sebagainya supaya para pesakit memiliki kemahiran lain bagi meneruskan kehidupan.

“Malah, pelaksanaan kelas-kelas kemahiran itu juga sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan bagi membiayai sebahagian kos di pusat pemulihan ini dan meningkatkan ekonomi Pulau Langkawi itu sendiri,” katanya selepas melakukan tinjauan ke beberapa buah pulau, hari ini.

ZULKIFLI ABDULLAH meninjau beberapa buah gugusan pulau kecil di Pulau Langkawi
ZULKIFLI ABDULLAH meninjau beberapa buah gugusan pulau kecil di Pulau Langkawi yang sedang dikenal pasti untuk mewujudkan pusat pemulihan dan rawatan dadah bersepadu sebagai inisiatif untuk membanteras gejala penyalahgunaan dadah di Langkawi, Kedah, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

Yang turut hadir, Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad.

Langkawi merupakan salah satu daripada 12 lokasi di seluruh negara yang disenaraikan sebagai kawasan berisiko tinggi yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah selain Kuala Kedah dan Felda Lubuk Merbau di negeri ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, antara faktor yang dipertimbangkan untuk pemilihan pulau itu adalah bentuk muka bumi dan sumber bekalan air agar operasi pusat berkenaan dapat berjalan lancar kelak.

Kata beliau lagi, individu di daerah ini yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah dan memerlukan rawatan serta pemulihan sebelum ini dihantar ke pusat-pusat rawatan di tanah besar termasuk di Pulau Pinang dan Perak.

“Sekiranya pusat ini dapat beroperasi kelak, ia mampu menampung mereka yang terlibat dengan ketagihan bahan terlarang itu di sini untuk memulihkan diri masing-masing.

“Justeru, saya akan memanjangkan hasil lawatan ini kepada peringkat tertinggi kerajaan untuk dipertimbangkan lokasinya termasuk kesesuaian mewujudkan pusat itu di pulau-pulau yang ada selepas kita mempertimbang kebaikan dan keburukannya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE