Hal ini kerana, perkemba­ngan mutakhir menyaksikan berlaku pertukaran kerajaan dengan pendekatan lebih liberal dan terbaharu, wujud usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mencetuskan rasa terkejut serta marah dalam kalangan orang Melayu.

TEO KOK SEONG
TEO KOK SEONG 

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f. Datuk Dr. Teo Kok Seong berpandangan, apa yang dibimbangkan oleh Tengku Abdullah adalah akan berlakunya ‘amukan’ dalam kalangan orang Melayu bila mana tahap kesabaran mereka tidak lagi mampu dikawal.

“Raja hanya akan bersuara jika sesuatu perkara berada dalam keadaan tidak stabil atau meruncing, amaran Tengku Abdullah amat jelas iaitu baginda mahu hak orang Melayu yang dipersetujui melalui perjanjian kontrak sosial tidak dipertikai.

“Jika tidak, orang Melayu yang selama ini banyak beralah dan bertoleransi sehingga menjadikan negara ini aman walaupun hidup secara majmuk hilang sabar yang akhirnya mencetuskan pergaduhan se­perti berlaku pada 1969,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Abdullah semalam bertitah bahawa baginda khuatir sebarang pembaharuan dan perubahan kepada dasar sosial politik negara yang dilakukan tanpa kajian yang mendalam akan hanya mengundang mudarat yang tiada berkesudahan.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam merasakan apa yang dititahkan oleh baginda adalah berkaitan ICERD yang tidak sesuai dijalankan di negara ini.

“Negara kita dibentuk melalui sejarah panjang begitu juga Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kehidupan kita ketika ini. Di dalamnya termaktub segala perkara yang membolehkan Malaysia berge­rak seperti mana ketika ini iaitu dalam keadaan aman serta tenteram tanpa mana-mana kaum didiskriminasi,” katanya.