Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihak kerajaan negeri meminta agar TNB memandang serius setiap aduan dan tidak melihatnya secara umum.

“Setiap aduan perlu dilayan dengan sempurna memandangkan hampir keseluruhan pengguna di negeri ini mengguna Smart Meter,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan Aidilfitri kepada 54 penerima daripada Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSS), Tanjung Kling di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Adly berkata, beliau berharap pihak TNB akan mengaktifkan talian aduan atau ‘Hotline’ mereka bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Sementara itu, Exco bagi Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak TNB berhubung masalah itu.

Beliau meminta orang ramai yang menghadapi masalah peningkatan bil menghubungi TNB Careline di talian 1300885454 atau hadir ke pejabat TNB berdekatan bagi membuat aduan. - BERNAMA