Setakat ini walau sudah lebih setahun Malaysia baharu, akta berkenaan masih kekal walau seperti ada ‘keluk kelik’ dengan seorang menteri pada Mei lalu memaklumkan Akta Hasutan tetap akan dimansuhkan, cuma menunggu formula baharu siap dirangka.

Bunyinya sangat kompleks sedangkan bukankah lebih senang dipinda sahaja bagi menutup sebarang ruang daripada akta itu disalah guna atas kepentingan politik. Malah ada yang sinis berkata, “tukar sahaja nama akta” kalau ada yang alergi sangat.

Terbaharu, DAP yang lantang mahu Akta Hasutan dimansuhkan telah membuat laporan polis supaya tindakan diambil mengikut akta tersebut terhadap seorang perwakilan Pas yang mencadangkan sekolah vernakular ditutup dalam persidangan parti itu baru-baru ini.

Laporan polis oleh wakil rakyat DAP di Perak itu bukan pelik walaupun sangat ironi kerana itulah dirasakan apabila hal-hal sensitif disentuh secara terbuka. Cuma masalah kita, hal sensitif kepada B, kurang dirasai A. Hanya bila disentuh hal yang sensitif kepada diri sendiri, maka A pun pandai melenting dan menolak soal prinsip kebebasan bersuara dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dan gesaan Majlis Raja-Raja semalam supaya semua pihak, khasnya pihak penguatkuasaan mengambil langkah lebih produktif dalam menangani hasutan dan fitnah dalam media sosial yang sering dilakukan secara terbuka harus membuka mata kepada keperluan mekanisme perundangan yang berkesan termasuk kedudukan Akta Hasutan.

AKta Hasutan
DOKUMEN Akta Hasutan 1948 - UTUSAN ONLINE

Pihak berkuasa pastinya memerlukan undang-undang untuk bertindak selain undang-undang itu sendiri mampu menjadi satu bentuk pencegahan menerusi hukuman yang tegas dan sebagainya. Ingat, undang-undang antiberita tidak benar juga telah dimansuhkan.

Maka dengan perkembangan terbaharu ini, apakah Akta Hasutan akan dikekalkan atau tetap dimansuhkan? Dalam hal ini ada pengamal undang-undang yang berpandangan memansuhkan Akta Hasutan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Bagi yang berpandangan tidak perlu persetujuan raja-raja Melayu pula, baca kenyataan Majlis Raja-Raja yang dilaporkan Bernama semalam, “Raja-Raja Melayu berperanan memelihara kesejahteraan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan”.

Malah, pihak berkuasa sejak 2014 lagi sudah menggunakan Akta Hasutan ke atas mereka yang menyalahgunakan media sosial. Tahun ini pun ada yang ditahan kerana kesalahan di bawah akta tersebut.

Singapura pun masih ada akta peninggalan British itu, malah terbaharu digubal pula akta antiberita tidak benar. Sri Lanka pula selepas berdepan tragedi hitam awal tahun ini juga mahu mengikut jejak Singapura. Maka, jangan terhantuk baru tengadah.

Kalau mahu mansuhkannya kerana manifesto, tak apalah jadikan janji memansuhkan Akta Hasutan sebagai perkara terakhir sekali ditunaikan. -UTUSAN ONLINE