Seorang peneroka, Mustafa Wahab, 56, berkata, kelibat beruang yang tidak diketahui jantinanya itu kerap dijumpai penduduk di kawasan berhampiran rumah mereka.

Katanya, bagi menjaga keselamatan, mereka terpaksa membawa parang ketika memasuki kebun bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Beruang itu bahaya kerana mempunyai kuku tajam menyebabkan penduduk bimbang keselamatan nyawa mereka.

“Kami bimbang haiwan terbabit masih bersembunyi di kawasan ladang sawit atau hutan berhampiran," katanya di sini hari ini.

Seorang lagi peneroka, Salleh Abdullah, 59, berkata, sebelum ini, pernah berlaku kejadian seorang penduduk maut diterkam beruang dalam sebuah kebun buah-buahan di Kampung Renok Baru lebih setahun lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku di jalan menghala ke Felda Perasu tetapi beruang itu gagal ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kita risau beruang yang sama berkeliaran di Felda Perasu yang boleh mengancam keselamatan penduduk. Kebanyakan peneroka takut untuk ke kebun mereka kerana takut terserempak dengan haiwan berkenaan.

“Kita juga telah menghubungi pihak Perhilitan dan perangkap telah dipasang di kawasan berhampiran hutan,” katanya. - UTUSAN ONLINE