Pengerusi Biro Sukan dan Kebudayaan KRT Taman Sri Api-Api, Mohd. Nazli Ramil berkata, bermula hari ini pihaknya akan melanggan lima naskah kedua-dua akhbar keluaran Kumpulan Utusan itu pada setiap hari.

Menurut beliau, menerusi sumbangan yang dilakukan itu diharap dapat menyelamatkan akhbar tertua di negara iaitu Utusan Malaysia yang telah banyak membantu KRT Api-api membuat liputan selama ini.

"Melalui sokongan semua pihak dan keperihatinan orang ramai, diharap Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus diterbitkan pada setiap hari bagi memenuhi kehendak pembaca,” katanya ditemui selepas program santai pantai di sini hari ini.

KRT Taman Sri Api-api merupakan antara yang aktif di daerah ini dengan penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat pada setiap bulan selain menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS ).

Mohd. Nazli berkata, menerusi hampir 1,000 penduduk, pihaknya menjadikan KRT sebagai medium merapatkan silaturahim dalam kalangan mereka dengan pelbagai kegiatan yang dijalankan.

Tambah Mohd. Nazli, Utusan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dalam pembangunan Malaysia terutama sebagai suara orang Melayu dari 1939 hingga kini.

Justeru, semua pihak perlu bersama-sama membantu mempertahankan akhbar warisan bangsa itu.

Jelas beliau, syarikat-syarikat korporat Melayu dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) disaran membeli iklan bagi membantu khazanah negara itu terus diterbitkan sampai bila-bila.

"Oleh itu, saya berharap dengan kempen membeli Utusan Malaysia dan Kosmo! yang berharga RM3.50 sehari atau melanggan akhbar digital (e-Paper) yang bernilai RM50 setahun dapat membantu memastikan akhbar ini terus bertahan," katanya. - UTUSAN ONLINE