Dua runtuhan tanah itu dikesan di Jalan Kinabalu di sini iaitu kira-kira 15 meter daripada Bangunan Menara 2 dan Kompleks 3, Cawangan Khas manakala satu lagi berhampiran bangunan Cawangan Pengangkutan Kem Komandan yang terletak di bawah bukit berdepan bangunan Mes Pegawai Kanan.

Lebih membimbangkan, dua runtuhan tanah yang berlaku berhampiran Jalan Kinabalu itu telah mengakibatkan sekeliling bangunan Menara 2 mengalami keretakan malah lapang sasar yang terletak di aras bawah bangunan itu sering dimasuki air hingga banjir kerana rekahan berkenaan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata, runtuhan tanah di cerun-cerun tersebut berlaku sejak beberapa tahun lalu khususnya ketika hujan lebat dan menjadi semakin teruk setiap hari.

“Pihak kami hanya mengambil langkah pemulihan sementara dengan membaik pulih kesan retak yang terdapat di sekeliling bangunan namun dikhuatiri perkara lebih buruk akan berlaku.

“Jabatan Kerja Raya juga telah melakukan siasatan tiga bulan lalu dan menutup runtuhan yang terlibat dengan kanvas bagaimanapun kami belum menerima keputusan siasatan tersebut,” katanya ketika ditemui semasa membawa pihak media meninjau kesemua lokasi terbabit di sini hari ini. Menurut Mohamad Fuzi yang juga Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah membina sebuah tembok sepanjang kira-kira 60 meter berhampiran runtuhan cerun di bangunan Cawangan Pengangkutan Kem Komandan bagi menghalang tanah itu memasuki rel kereta api yang terdapat di situ.

“Bagaimanapun pembinaan tembok itu tidak dapat menyelesaikan masalah runtuhan kerana perkara tersebut terus berlaku dan hakisannya semakin menghampiri bangunan Mes Pegawai Kanan yang terdapat di atas bukit tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi turut berkongsi pengalamannya berhadapan detik cemas apabila berlaku pergerakan tanah di bangunan Menara 2 semalam.

“Semalam, sebuah cermin yang terletak di bilik air di pejabat saya di tingkat 30 pecah secara tiba-tiba...saya ingat ada letupan bom.

“Tetapi lepas diperiksa, saya rasa berkemungkinan perkara yang berlaku disebabkan oleh pergerakan tanah,” katanya.