Beliau berkata, kaedah itu adalah salah satu kaedah dan pelengkap kepada urus tadbir yang cekap untuk kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat agar setiap agihannya dapat terus dinikmati mereka.

Walau bagaimanapun, katanya, mekanisme pemberian subsidi bersasar perlu dibuat dengan lebih baik dan secara jelas dalam menentukan golongan benar-benar layak.

“Sebagai contoh subsidi untuk minyak, jika kita beri subsidi bersasar, apakah kriteria yang harus ada? Bagaimana pula dengan orang kampung yang tidak mempunyai kenderaan dan dalam masa sama memerlukan subsidi?

“Oleh itu, ia perlu dibuat dengan teliti dan jangan sampai orang tidak memerlukan (subsidi) pun dapat yang akhirnya dia pun tidak menghargainya nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, beliau berharap kerajaan dapat menentukan golongan mana yang benar-benar layak untuk menerima bantuan bagi menjadikan subsidi sebagai salah satu cara berkesan membantu golongan kurang berkemampuan.

“Siapa yang boleh dikategorikan sebagai golongan sasar? Itu yang kerajaan perlu fikirkan. Ada orang bergaji RM4,000 tetapi tanggungannya cukup menampung kos sara hidup dan ada yang sebaliknya.

“Gunakan mekanisme le­bih baik dan mudah supaya tujuan sampai. Ambil contoh, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana pemberiannya adalah baik tetapi ada pihak tidak gunakan sebaik­nya,” katanya.